Wednesday, July 23, 2014

MAS peroleh suntikan semangat


KUALA LUMPUR - Di sebalik dua tragedi yang menimpa pesawat MAS dalam tempoh empat bulan, rata-rata anggota Dewan Rakyat menunjukkan persepaduan untuk terus berdiri teguh di belakang syarikat itu.

Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) berkata MAS tidak seharusnya dibiar menanggung beban membayar pampasan kepada anggota keluarga mangsa seorang diri.

“Ini bukan berlaku dalam angkasa Malaysia. Ini berlaku di Ukraine. Kita minta Perdana Menteri apabila bercakap dengan Peguam Negara, jangan pandang kecil soal ganti rugi. Kalau MAS disaman, kita perlu saman balik pihak yang bertanggungjawab,” katanya ketika membahaskan usul mengenai tragedi yang menimpa pesawat MAS, Penerbangan MH17 pada mesyuarat khas Parlimen di sini semalam.

Azalina menegaskan mustahil tidak ada pihak yang bertanggungjawab sekiranya benar ia ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu.

“Ruang angkasa itu ada banyak kapal terbang lain tetapi MAS yang jadi mangsa. Saya katakan ini adalah barbaric mass murder (pembunuhan kejam beramai-ramai). Sama ada Rusia bertanggungjawab, puak pemisah mahupun Ukraine, isunya adalah siapa yang akan beri ganti rugi kepada keluarga,” katanya.

Selain itu, Azalina menggesa kerajaan menguatkuasakan peraturan yang meminta syarikat-syarikat berkaitan kerajaan serta agensi kerajaan mendahulukan MAS dalam setiap penerbangan yang diambil.

“Letakkan keutamaan kepada MAS, kru, kakitangan. Beri bonus dan elaun serentak. Sebab mereka seolah-olah mati syahid. Mati semasa dalam bekerja,” katanya.

Sementara itu, Teresa Kok (DAP-Seputeh) meminta kerajaan dan MAS memberi perhatian kepada kakitangan syarikat itu yang mengalami tekanan emosi dan trauma susulan dua kejadian melibatkan pesawat MAS.

“Anak-anak kapal yang tidak stabil emosinya dan takut menaiki kapal terbang harus digalakkan berehat dan diberi kaunseling sehingga mereka pulih semula,” katanya.

Lim Guan Eng (DAP-Bagan) berkata DAP juga akan terus memberi sokongan terhadap MAS dan yakin untuk terus menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan itu.

“Sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada MAS dan warga kerja bukanlah sekadar ucapan sahaja, maka kami ingin menunjukkan keyakinan dengan terus menggunakan MAS, kalau masa penerbangan mengizinkan,” katanya.

Datuk Joseph Pairin Kitingan (BN-Keningau) pula menggesa sesetengah anggota masyarakat berhenti menuding jari menyalahkan pihak MAS dalam tragedi MH17.

Katanya, tragedi MH17 merupakan sesuatu yang tidak diminta oleh sesiapapun termasuk kakitangan MAS sendiri.

“Yang bersalah ialah yang menembak pesawat itu, MAS tidak melakukan apa-apa kesalahan, tidak adil untuk salahkan MAS.

“Sebaliknya bertafakur dan bersedih dengan nasib kakitangan MAS, sama kerana mereka kehilangan rakan-rakan dalam dua insiden termasuk MH370 beberapa bulan lalu, kita juga berdoa agar mereka dapat terus menjalankan tugas sebaiknya demi penumpang yang masih memerlukan khidmat mereka (MAS),” katanya

Sumber

No comments:

Post a Comment